MAHKAMAH Rayuan kelmarin memutuskan peruntukan 15 (5) (a) dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, khususnya yang melarang pelajar menyatakan sokongan dan simpati atau bangkangan kepada mana-mana parti politik dalam dan luar negara. Keputusan ini pastinya disambut gembira oleh pihak yang sebelum ini memperjuangkan kebebasan berpolitik untuk mahasiswa dan kebebasan akademik untuk pensyarah yang didakwa mereka disekat AUKU. Pada mereka undang-undang menurut akta ini dilihat bertentangan dengan amalan yang diperuntukkan dalam Perlembagaan, termasuk dalam soal hak dan kebebasan untuk berpersatuan dan hak untuk mengundi selaku seorang warga negara.
Malah, ada yang melihat larangan kepada mahasiswa untuk menyertai atau mengambil bahagian dalam politik bertujuan memberi tumpuan sepenuhnya pada soal akademik di kampus. Walaupun keputusan Mahkamah Rayuan ini agak mengejutkan, sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan AUKU sah di sisi Perlembagaan pada 28 September tahun lalu, ia membuktikan sistem kehakiman di negara ini telus dan bebas daripada sebarang pengaruh atau unsur campur tangan politik atau kerajaan. Kita percaya isu ini belum ada titik penamatnya kerana keputusan dibuat Mahkamah Rayuan bukanlah sesuatu yang muktamad kerana ia masih boleh dicabar apabila plaintif – iaitu kerajaan, Kementerian Pengajian Tinggi dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan bagi meneliti penghakiman bertulis keputusan Mahkamah Rayuan.
Pada masa sama, kita perlu akui selepas 30 tahun AUKU berkuat kuasa, ia tidak pernah menjadi batu penghalang kepada mahasiswa untuk cemerlang dalam akademik, malah membantu negara melahirkan lebih ramai pemimpin politik kerajaan dan pembangkang berwibawa, mempunyai idealisme dan matang dalam membuat keputusan. Oleh itu, tuduhan kononnya AUKU menyebabkan keadaan dan budaya dalam kampus hari ini tidak dapat melahirkan pemimpin yang kita kehendaki dan merencatkan pencapaian akademik adalah tidak berasas.
Walaupun bagi sesetengah pihak menyifatkan larangan itu mengongkong pelajar, hakikatnya AUKU banyak menyelamatkan pelajar dan warga universiti daripada diperalat pihak tertentu untuk kepentingan politik mereka. Jika dipandang dari sudut positif, larangan AUKU juga memberi haluan kepada pelajar supaya tidak menyimpang daripada matlamat sebenar ke menara gading. Persoalan sama ada AUKU masih relevan atau tidak, biarlah tafsiran itu ditentukan mahkamah kerana bagi mahasiswa, mereka perlu sedar tanggungjawab sebenar tanpa mengabaikan sumbangan kepada masyarakat dan negara.
sumber: berita harian
No comments:
Post a Comment