My Readers

Thursday, May 5, 2011

coretan abang tentang mak...

coretan abang sulong aku tentang mak...rindunya dia...huhuhu...ni dia tulis 5 tahun yang lepas...masa tu mak masih ada lagi...bulan 6 ni genap 2 tahun mak pergi...



Bulan mei kata orang bulan menyambut hari ibu sedunia. Itu kata orang, tapi hari ini ialah hari lahir ibu saya. Mak tak biasa menyambut hari ibu. Abah juga tak betah menyambut hari bapa. Mak dan abah adalah orang kampong, hidup dengan cara kampong, tiada panggilan mummy, dady, mama, papa, namun tega dengan mak dan abah. Jarang saya menulis mengenai mak dan abah untuk tatapan umum. Apa yang saya paparkan di sini juga mak dan abah tak mungkin baca. Mereka jahil tentang apa itu internet, mereka memang tak moden. Mak dan abah melayu tradisi. Saya kagum dengan semangat abah, berbekalkan sebuah beg, abah membawa ibu dan kami ketika itu tiga beradik, jauh merantau dari bumi Balik Pulau, Pulau Pinang, membuka lembaran baru, sejarah baru, hidup baru nun jauh di pedalaman di Negeri Pahang. Saya masih jelas wajah mak ketika itu, setia dan tabah mengikut abah, menggendong adik saya yang masih kecil, masih juga jelas di ingatan saya beg hijau yang abah bimbit, sekadar mengandungi beberapa helai baju dan dokumen penting. Masih juga jelas, kata abah “Abah tak takut hidup susah, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, abah tak minta sedekah dengan orang, abah tak berhutang dengan siapa-siapa, tapi abah paling pantang di hina di bumi sendiri, seolah abah tak mampu membesarkan hangpa semua”. Kata abah lagi “ abah cari rezeki halal bagi hangpa makan, biaq kita miskin harta tapi kita ada maruah”. Mak hanya diam. Mak sangat tulus mengasihi abah. Mak sangat penyabar, manusia paling penyabar dalam dunia ni yang pernah saya jumpa. Mak tak pernah mengeluh. Saya masih jelas, bagaimana saya membantu mak menggendong baju, sementara mak mendukung adik, pergi ke sungai, untuk mandi dan basuh baju. Ayah tak pernah merungut untuk menyalakan lampu pelita minyak tanah setiap malam, bahkan sehingga saya di tingkatan tiga, rumah kami masih berbekalkan cahaya pelita minyak tanah. Abah tak sesempurna orang lain. Abah rabun yang teruk, kaca mata abah tebal sangat, paling tebal saya rasa yang pernah saya jumpa, maka setiap petang, habis sekolah, saya akan membantu abah bila nak mengait sawit. Mak bungkuskan nasik dalam daun pisang, dengan ikan masin dan kicap kegemaran saya, mak bekalkan air kopi o panas kegemaran abah dan saya, yang kami akan habiskan setelah selesai mengerjakan ladang. Abah tau saya kadangkala merungut bila kena ikut abah ke ladang, sebab saya akan terlepas peluang untuk bermain dengan kawan-kawan lain, jadi untuk menghiburkan saya, abah akan letakkan saya dalam kereta sorong, sambil abah tolak laju-laju, kadangkala abah menolak sambil berlari, sehingga saya ketawa semula. Saya nampak abah tercungap-cungap, tapi abah tak mengeluh, walaupun jarak ladang kami dengan rumah sekitar tiga kilometer. Balik dari ladang, mak dah siapkan nasik panas dan sambal sardin paling sedap dalam dunia, tak lupa kopi o panas berasap-asap. Kadang kala mak masakkan lempeng pisang, yang saya akan makan sambil cecah gula ataupun susu. Pengorbanan mak dan abah sangat besar. Saya inginkan syurga untuk mak dan abah. Apa yang saya tulis ini, hanya secebis kecil kisah mak dan abah. Saya hairan bagaimana saya boleh jumpa orang tua yang diabaikan anak-anak hinggakan terpaksa tinggal di rumah kebajikan. Saya juga pernah jumpa manusia yang bencikan ibu dan ayahnya. Dan saya juga masih ingat, ketika di asrama, saya pernah belasah seorang budak, hanya kerana saya melihat dia melarikan diri ketika ibu dan ayahnya yang tua, datang ke asrama pada hari minggu untuk melawatnya, sambil menggendong beg plastik berisi nasik dan lauk, dengan niat untuk anaknya makan bersama kawan-kawan sebilik. Sanggup dia lari menyorok, hinggalah saya sendiri mencari dia. Entahlah…yang saya pasti, dengan doa mak dan restu abah lah saya mampu bernafas di bumi ini. Saya memang kasar, saya memang lepas laku, namun masih saya bawa kata-kata mak dan abah, “Mie, mana-mana pun hang pi dalam dunia ni, pi lah…mak dengan abah tak halang. Hormat orang tua, tolong orang susah.” Mak, selamat hari lahir, abah, terima kasih… Saya sangat bertuah, mak dan abah masih sihat hari ini. Saya punya ramai teman yang telah tak punya mak atau abah, malah yatim piatu. Saya amat bersyukur.Mak dan abah saya bukan orang kaya harta, juga bukan orang berpengaruh, tak punya gelaran apa-apa, hanya orang kampong, masih utuh dengan sifat MELAYU. Yang amat pasti, Saya sayang mak dan abah…




ya..ternyata air mata aku mengalir lagi tatkala membaca coretan ini...YA ALLAH, KAU TABAHKANLAH HATIKU MENGHADAPI HIDUP2 TANPA SEORANG BERGELAR IBU...