My Readers

Thursday, March 17, 2011

LAPORAN KEJADIAN KLUSTER INFLUENZA-LIKE ILLNESS (ILI) DI PUSAT LATIHAN POLIS (PULAPOL), JALAN SEMARAK, KUALA LUMPUR

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan kejadian kluster ILI yang berlaku dalam kalangan pelatih konstabel dan inspektor Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Jalan Semarak, Kuala Lumpur. 
Hasil siasatan mendapati pada 5 Mac 2011 terdapat 3 pelatih PULAPOL yang mendapatkan rawatan pesakit luar di Hospital Kuala Lumpur kerana mengalami gejala ILI. 
Siasatan lanjut mendapati sejumlah 1,000 pelatih konstabel mula berdaftar dan menjalani latihan di pusat ini sejak 1 Februari 2011 manakala 1,000 lagi pelatih Inspektor yang mula mendaftar dan menjalani latihan bermula 1 Mac 2011. Jumlah keseluruhan pelatih dan kakitangan di PULAPOL adalah seramai 2,800 orang. 
Sehingga 8 Mac 2011 jam 8.30 malam, seramai 210 pelatih didapati mengalami gejala ILI dimana 2 kes di ICU, 26 kes di wad biasa dan 182 pelatih diisolasi di PULAPOL.

Terdapat satu kematian melibatkan seorang pelatih lelaki berumur 25 tahun yang mula mengalami gejala ILI pada 15 Februari 2011. Memandangkan gejala yang dialaminya masih berterusan, beliau telah dibawa oleh pihak PULAPOL untuk mendapatkan rawatan di hospital dan terus dimasukkan ke wad pada 28 Februari 2011. Beliau dirujuk ke ICU pada 5 Mac 2011 kerana memerlukan rawatan rapi dan disahkan meninggal dunia pada 8 Mac 2011 jam 8.30 malam disebabkan oleh Community Acquired Pneumonia with multiorgan failure.
Maklumat lanjut yang diperolehi mendapati semenjak melaporkan diri di PULAPOL, beliau hanya menjalani aktiviti latihan kawad dan sentiasa berada di pusat latihan tersebut walaupun pada hujung minggu. 
Kementerian juga ingin memaklumkan bahawa kes kematian yang dinyatakan di atas dan dua (2) kes yang kini dirawat di ICU didapati positif terhadap jangkitan Adenovirus. keadaan pelatih-pelatih yang dirawat di wad biasa adalah stabil.

Hasil siasatan di lapangan juga menunjukkan terdapat jangkitan Adenovirus dalam kalangan pelatih yang diisolasi di PULAPOL. Ini adalah berdasarkan keputusan makmal 18 daripada 20 sampel swab tekak (90%) adalah positif bagi Adenovirus.
Di samping itu, 3 daripada 4 sampel najis juga positif bagi Adenovirus. Justeru aktiviti kawalan dan pencegahan dalam kalangan pelatih PULAPOL akan diteruskan setiap hari.

KKM ingin memaklumkan bahawa wabak Adenovirus pernah dilaporkan di dalam institusi tentera di Amerika Syarikat. Oleh itu berdasarkan keputusan-keputusan makmal dan tanda-tanda klinikal serta kejadian yang sama pernah dilaporkan di institusi ketenteraan, kejadian di PULAPOL ini berkemungkinan besar berpunca daripada jangkitan Adenovirus.
Namun begitu, pihak KKM masih meneruskan siasatan bagi memastikan tiada sebarang kemungkinan lain yang boleh
menyebabkan kejadian ini. Untuk makluman, Adenovirus menyebabkan jangkitan respiratori yang
ringan, cirit-birit dan konjunktivitis. Lazimnya ia menyebabkan jangkitan yang ringan namun begitu kejadian komplikasi dan kematian pernah juga dilaporkan oleh CDC Atlanta, USA.
Di kalangan kes di PULAPOL, sebahagian besar menunjukkan gejala jangkitan respiratori yang ringan dan 50% daripada mereka juga mengalami cirit-birit ringan. Adenovirus boleh menular melalui perhubungan rapat (direct contact)
dengan pesakit atau menyentuh permukaan yang tercemar dengan titisan air daripada pesakit yang batuk atau bersin.

Penularan jangkitan Adenovirus boleh dicegah melalui amalan kebersihan diri terutamanya kerap mencuci tangan dengan sabun atau menggunakan sanitizer, mengamalkan adab batuk dan tidak mengunjungi tempat tumpuan orang ramai terutamanya mereka yang mengalami gejala ILI.

Buat masa ini, kejadian ini hanya terhad di kalangan pelatih-pelatih di PULAPOL. Oleh itu, orang ramai tidak perlu bimbang mengenai penularan jangkitan ini dalam masyarakat. KKM telah mengambil tindakan kawalan termasuk mengisolasi kes-kes yang tidak serius di pusat latihan dan tidak membenarkan pelatih keluar dari institusi latihan
ini serta pelawat tidak dibenarkan untuk melawat pelatih.

KKM sentiasa memantau perkembangan situasi ini dan akan memaklumkan kepada orang ramai dari semasa ke semasa.
Sekian dan terima kasih.
DATO’ SRI LIOW TIONG LAI
MENTERI KESIHATAN MALAYSIA
Tarikh: 9 Mac 2011

2 comments:

  1. tp npe sblm terjadi nyer kematian tu..menteri kesihatan menafikan bhw terdapat wabak2 n virus2 didalam pulapol..mcm mne beliau boleh buat kenyataan sedemikian..tp slps de kematian..br kecoh psl berlakunyer wabak di dalam pulapol..

    ReplyDelete
  2. aku xtau pun sal tu beb..nanti aku wat research cket lu sal ni...

    ReplyDelete