Abah, Mak, ini hadiah Man untuk kalian!
Alhamdulillah, jumaat hari ini membawa rahmat dan barakah yang cukup besar untuk saya. Genap 2 bulan menunggu, hari ini saya terima Surat Senat dari pihak siswazah USM menandakan saya sudah lulus dan layak dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D).
Inilah impian saya sekian lama. Sejak dari bangku sekolah lagi, saya bagitahu arwah abah yang saya nak belajar sampai PhD.
Perjalanan selama 3 tahun lebih ini bukanlah satu perjuangan yang mudah untuk saya. Niat di hati nak tamatkan pengajian bawah tempoh 3 tahun tidak kesampaian. Allah uji saya dengan sakit dan kehilangan orang-orang yang saya sayang. Namun, Allah titipkan kekuatan agar saya habiskan perjuangan yang saya sudah mulakan ini. Biarlah jika perlu habiskan dengan tempoh yang lebih lama sekalipun, janji saya mesti sampai ke penghujungnya.
Tiadalah daya dan upaya saya untuk menamatkan perjuangan ini jika tidak kerana insan-insan yang Allah hadirkan untuk terus menyokong saya. Jutaan terima kasih buat semua, penyelia utama saya, Prof. Osman Md Yusoff, penyelia bersama, sahabat-sahabat dan staff sokongan di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan dan Pusat Siswazah USM. Sungguh, jasa kalian semua akan saya kenang sampai bila-bila
Saya masih ingat suatu ketika saya di tingkatan lima dan tinggal di sekolah asrama. Abah datang naik bas dari kampung ke bandar Kuantan. Saya jumpa abah di perhentian bas. Abah bagi saya duit belanja. Abah minta maaf sebab abah tak boleh nak ambil teksi ke asrama. Duit yang ada hanya cukup-cukup untuk abah bayar tiket bas untuk pulang semula ke kampung. Abah pesan supaya saya belajar rajin-rajin. Biar abah susah tak apa, janji anak-anak abah dapat belajar dan cukup makan. Allahu, sungguh abah adalah hero saya.
Sesungguhnya, ini hadiah saya untuk arwah abah dan mak, juga buat adik-beradik saya yang banyak berkorban untuk pastikan saya dapat pendidikan terbaik. Tidak sabar rasanya untuk meraikan konvokesyen pengajian PhD saya Oktober nanti. Lengkap sudah pengajian diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana, dan kini ijazah doktor falsafah. Syukur!
Abdul Rahman Abdul Latip
Ph.D (Policy & Planning)
Universiti Sains Malaysia
Tahniah.. Perjalanan saya stop sampai degree je skrg. entah bila nak sambung.
ReplyDeleteInsyaAllah kalau ada tekad, pasti boleh!
Delete