Take time once in a while to just enjoy the moment...smell the flowers.. dance in the rain... run wild...feel the wind..feel free.. Put a smile on you face and thanks Allah that you're alive and still around
My Readers
Thursday, October 4, 2018
Wednesday, October 3, 2018
Tuhan, Aku Tidak Kuat.
Allahu. Tak tahu nak describe macam mana tapi aku betul-betul rasa nak give up dengan semua yang aku tengah buat sekarang. Tak nak buat apa-apa dan tak nak fikir apa-apa. Sungguh, aku tak pernah salahkan takdir. Aku tak pernah cuba untuk mempersoalkan setiap apa yang Allah telah tetapkan. Cuma adakalanya aku rasa macam dah tak kuat nak hadapi semua ni. Ujian yang Dia hadirkan untuk aku terlampau hebat. Aku hanyalah seorang hamba yang hina, dengan iman yang amat tipis.
Sejak hampir setahun lepas, aku diuji dengan masalah kesihatan dans ampai sekarang, aku masih lagi dibelenggu dengan masalah ini. Aku tak tahu bila masalah ini akan temui penghujungnya. Beberapa minggu selepas pembedahan yang pertama, sahabat baik yang paling aku sayang dijemput Ilahi. Selepas keluarga aku, dia adalah insan yang paling rapat dengan aku. Macam-macam benda yang kongsikan bersama. Impian yang kami sama-sama kejar kini hanya tinggal aku yang terus berjuang, berseorangan. 3 bulan berikutnya, aku jalani pembedahan untk kali kedua dengan harapan masalah kesihatan yang aku alami selesai. Aku terus kuat. Aku cuba untuk kekal positif sebab aku yakin di sebalik ujian yang Allah bagi ni, Dia sedang mengajar aku sesuatu. Hikmah yang mungkin aku tak nampak hari ni tapi baik buat aku untuk hari esok. Aku sabar. Aku cuba berfikir sepositif yang mungkin.
6 bulan berlalu, masalah kesihatan ini ternyata masih membelenggu aku. Hampir setiap 2 minggu aku berulang-alik ke hospital. Masih juga belum selesai. Bulan depan, aku akan jalani pembedahan kali ketiga, dengan harapan moga Allah hadirkan kesembuhan total buat masalah kesihatan yang aku hadapi.
Pertengahan Ogos yang lepas, aku diuji dengan ibu angkat yang aku sayangi dimasukkkan ke hospital. 5 hari awal di wad biasa dan selepas itu dipindahkan ke Wad ICU kerana keadaan kesihatannya semakin membimbangkan. Aku dan satu-satunya anak kandung dia kekal positif yang mak akan sembuh. Setiap hari, kami ke hospital, bersembang dengan dia walau pada hakikatnya dia tidak bagi apa-apa respon. Kami tahu, hanya Dia yang mampu hadirkan keajaiban untuk kesembuhan mak. Akhirnya, tanggal 15 September, tepat jam 4.25 petang, Allah ambil kembali mak yang dia pinjamkan untuk kami. 10 tahun yang cukup bahagia mengenali dia. Kini, aku kembali keseorangan,
Allahu, keadaan ini cukup sukar untuk aku. Mampukah aku hadapi hari esok? Hanya kepadaMu aku berserah wahai Tuhan yang Maha Pengasih dan Penyayang. Saat ini, hambaMu ini tidak kuat Ya Allah.
Monday, October 1, 2018
Terima Kasih untuk Segalanya, Mak!
Bismillahirrahmanirrahim.
Tepat jam 4.25 petang 15 September yang lepas, perginya seorang insan yang amat saya kasihi. Satu-satunya ibu yang setia menyayangi saya sejak 10 tahun lepas. Ketika mana saya masih meratapi pemergian ibu kandung saya, dia hadir mengusap lembut kepala saya. Katanya, kalau sudi anggaplah dia seperti ibu sendiri.
Sejak itu, tidak pernah sedikitpun dia anggap saya seperti orang asing. Setiap kali berkunjung ke rumah, saya dilayan bagai menatang minyak yang penuh. Lauk kegemaran saya sentiasa tersedia di atas meja makan. Mukanya tidak akan senyum selagi saya tidak habiskan semua makanan yang dimasak. Setiap kali menjelang musim peperiksaan, dialah yang paling sibuk, membacakan yassin, membuat solat hajat, dengan harapan kedua-dua orang anaknya berjaya mendapat keputusan cemerlang.
Menjelang akhir syawal yang lepas, saya menjemputnya ke rumah. Dia tetap datang walaupun keadaan kesihatannya kurang baik. Dia masuk ke bilik saya dan berdiri lama di balkoni. Dia kata seronoknya saya dapat lihat pemandangan yang cantik hari-hari. Gayatnya dengan tempat tinggi hilang serta-merta. Rupa-rupanya itulah kali pertama dan terakhir dia berkunjung ke rumah saya.
Ketika saya menjaganya di hospital, banyak cerita yang kami kongsi. Saya sempat menyuapkan dia makanan dan ubat. Ada satu masa, dia teringin makan bihun sup lalu saya turun ke kedai di belakang hospital untuk membelinya. Walaupun masin, dia tetap makan juga sebab nak jaga hati saya. Saya janji yang saya akan masakkan sup ayam yang sedap untuk dia nanti. Dia senyum seraya berkata, “Mak tunggu man masak sup ayam untuk Mak ya”
Sebelum balik ke rumah, saya kucup tangan dia. Saya puas hati dapat jaga dia untuk hari tu. Tiba-tiba dia berseloroh, “puas Man jaga mak ya. Mak tak tahulah. Rasanya tak lama dah ni.” Allahu, hati saya tersentak. Saya tak suka dia cakap macam tu. Saya janji dengan dia saya akan datang jaga dia lagi.
Namun, Allah lebih tahu apa yang terbaik buat dia. Lebih tiga minggu kami jaga dia di hospital, kami bawa mak pulang ke rumah. Ternyata dia disayangi ramai. Tetamu tidak putus-putus datang ziarah mak. Dari saudara-mara, kawan-kawan sehinggalah ke anak-anak murid mak. Semua mendoakan yang terbaik untuk mak. Segalanya berakhir dengan baik. Mak pergi tika selesai azan asar berkumandang.
Rehatlah mak di sana. Kami akan sentiasa ingat segala pesan mak. Kami janji akan sentiasa ada untuk satu sama lain seperti yang mak nak. Kasih sayang yang mak bagi untuk hampir 10 tahun ni amat sempurna. Tiadalah yang dapat membalasnya melainkan rahmat Allah buat mak di sana. Terima kasih untuk segalanya ibuku sayang.
Ya Allah, ampunilah dia, kasihanilah dia, sejahterakanlah dia dan maafkanlah kesalahannya. Lapangkanlah kuburnya, angkatlah azab kubur daripadanya, berikanlah limpahan syurga al-jannahMu kepadanya dan masukkanlah dia dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh. Amin.
Friday, July 27, 2018
Mengenangmu, Sahabatku!
Ini pula catatan kedua saya mengenang pemergian sahabat terbaik yang pernah saya ada. Aku rindukan kau sahabat!
6 tahun lepas, kami hadiri majlis konvokesyen untuk Diploma Pentadbiran Awam di UiTM Shah Alam. Ketika itu saya sudah memulakan pengajian peringkat Degree di tempat yang sama iaitu UiTM Merbok dan beliau menyambung pengajian di Sydney, Australia.
6 tahun lepas, kami hadiri majlis konvokesyen untuk Diploma Pentadbiran Awam di UiTM Shah Alam. Ketika itu saya sudah memulakan pengajian peringkat Degree di tempat yang sama iaitu UiTM Merbok dan beliau menyambung pengajian di Sydney, Australia.
Secara kebetulan, kami memakai kemeja dengan warna yang sama dan insan yang mengambil gambar kami ketika ini adalah arwah ibunya. Hajat di hati memang nak melawat beliau di sana tetapi habis sahaja pengajian, saya pula terbang ke London untuk memulakan pengajian peringkat Master.
Kami tetap kekal berhubung macam biasa sampailah beliau menelefon saya pada Disember 2013 dengan nada yang sangat ceria. Beliau meminta saya balik ke Malaysia pada Jun 2014. Katanya ada majlis. Aunty pun rindu saya katanya, lama tak jumpa kawan baik anak dia ni.
Seminggu sebelum pulang ke Malaysia, saya dapat mesej dari beliau. Ketika tu, saya baru nak masuk dewan peperiksaan untuk paper terakhir saya. Beliau minta saya doakan ibunya yang sedang nazak. Saya terkejut sebab dia tak pernah bagitahu saya pasal sakit ibunya.
Saya masuk dewan dan habiskan dulu exam. Bila saya on semula handphone setelah keluar dari dewan, tertera mesej dari beliau memaklumkan yang ibunya telah pergi untuk selama-lamanya. Sungguh, saya hanya mampu doakan dari jauh agar dia kuat harungi ujian tersebut.
Beliau tunggu kepulangan saya di KLIA. Saya peluk dia erat. Saya tahu dia perlukan saya untuk luahkan segala rasa sedihnya. Bagi dia, ibunya adalah segala-galanya. Dia rasa kosong yang amat sangat. Saya faham, kerana ibu bapa saya juga telah pergi buat selama-lamanya.
Sepatutnya kami rancang nak tunaikan umrah bersama-sama pada tahun hadapan. Dia kata dia rindu mak dia, dia rindu kaabah. Dia teruja cerita dekat saya bagaimana puasnya dia rasa dapat mengerjakan umrah bersama arwah ibunya.
Sahabatku, tenanglah kau di sana. Tak ada apa lagi yang kau perlu gusarkan. Aku sentiasa mendoakan agar kau bahagia menemui penciptamu kerana kau, aku dan kita semua adalah milikNya. Aku akan sentiasa merindukan kamu sehingga akhir hayatku, wahai sahabatku.
Tuesday, July 24, 2018
Kau Sahabatku, Kau Teman Sejati
Coretan ini saya nukilkan khas pada 13 November tahun lepas, sehari selepas pemergian sahabat baik saya, Allahyarham Mohamad Bashah. Mohd Basroh {19.09.1989 - 12.11.2017}
Kau sahabatku, Kau teman sejati. Hampir 10 tahun kita kenal, kau adalah sahabat paling baik pernah aku ada. Pantang aku kata aku ada masalah, kau orang pertama yang akan datang bantu. Keluarga kau aku kenal, apatah lagi keluarga aku, semua sayangkan kau.
Kau kata, apa guna kawan kalau tak ada masa susah dan senang. Kau buktikannya tanpa sikit pun kau merungut atau mengungkit. Kau kata, biar tak ramai kawan, janji kau hargai, sayangkan kawan-kawan kau.
3 bulan lepas, kita sama-sama kembali ke UiTM Kedah, tempat pertama kita kenal. Waktu tu, kau sangat teruja. Kita bersua kembali semua pensyarah yang ada. Kata mereka, tak sah la kalau Man datang tak bawak Bashah. Kau turutkan semua permintaan aku. Kau nak aku happy.
3 minggu lepas, waktu aku di hospital, hampir setiap hari kau datang. Kau bawak semua makanan kesukaan aku tanpa aku minta. Kita sembang panjang. Macam-macam yang kau luahkan. Pasal jodoh, pasal keluarga, pasal kerja, dan aku pelik tentang satu perkara. Kau kata kau nak pindah rumah, penat duduk rumah tingkat atas. Kau nak duduk rumah kat tanah.
Hari ini, Kau pergi tinggalkan aku tanpa pesan. Semua orang tanyakan aku pasal kau. Mereka tak percaya, yang kau dah pergi untuk selama-lamanya. Aku terduduk, tak tahu apa nak kata. Aku hilang sahabat yang paling aku sayang. Setiap kali aku nak cerita pasal kau, air mata aku keluar. Aku cuba tahan, tapi aku tak boleh. Aku sayangkan kau Bad. Aku rindukan kau!
Aku janji, aku akan simpan segala memori kita. Aku akan teruskan segala impian dan cita-cita kita. Aku nak cepat sembuh, sebab aku tahu kau tak suka aku sakit. Aku tak sangka, ucapan jaga diri sebelum kau balik dari melawat aku tu adalah ucapan terakhir kau buat aku. Aku baik-baik sahaja sahabat.
Duhai sahabatku Mohamad Bashah, damailah dikau di sana. Aku sayangkan kau tapi ternyata Tuhan lebih sayangkan kau. Moga syurgalah termpatmu sahabat. Terima kasih atas segala-galanya. Aku redha, aku terima, setakat ini sahaja Tuhan pinjamkan kau buat kami semua. Moga kita bertemu kembali di syurga, sahabatku.
Thursday, May 3, 2018
Setengah Mati Merindu
MEI
Bulan yang cukup istimewa bagi saya. Di kalangan adik-beradik, sayalah yang sentiasa ingat tarikh lahir semua. Saya akan tulis di diari dan semenjak ada telefon bimbit, saya akan tanda di kalendar untuk ingatan. Saya sentiasa nak jadi orang pertama untuk ucap selamat, dari dulu sampai sekarang.
Bulan ini, ada beberapa tarikh penting bagi saya. Salah satunya adalah sambutan Hari Ibu yang akan disambut pada 13 Mei ini dan yang lagi penting, hari ini merupakan hari kelahiran mak. Kalau mak masih ada, tahun ini mak berumur 63 tahun.
Mei 2009. Tahun ini adalah tahun terakhir saya meraikan hari lahir mak dan hari ibu di rumah kakak saya. Saya buat kejutan belikan mak kek. Saya masakkan lauk kegemaran mak. Walaupun pada masa tu mak tak berselera untuk makan, dia tetap senyum ucapkan terima kasih. Saya puas dapat lihat wajah mak gembira.
20 tahun Allah pinjamkan mak untuk saya. Kini, hampir 9 tahun mak pergi ke pangkuanNya. Saya redha dengan apa yang Dia telah tetapkan. Wajah ini tak pernah saya lupakan walau sedetik pun. Dialah wanita yang paling mulia yang saya cintai. Dialah ratu hati saya. Saya merinduinya setengah mati.
Mak, Abah, damailah kalian di sana. Hanya doa dapat anakmu titipkan agar kalian dikasihi olehNya. Ya Rahman Ya Rahim, ampunkanlah dosanya, lapangkanlah kuburnya, terimalah kebaikannya dan hapuskanlah segala kesalahannya dengan rahmatMu.
Saya rindukan syurga saya. Al-fatihah untuk kedua ibu-bapa saya yang telah pergi mengadap Ilahi.
Subscribe to:
Posts (Atom)