KUALA LUMPUR – Program biasiswa Yang di-Pertuan Agong tahun ini menawarkan 12 calon cemerlang mengikuti pengajian bidang sains dan teknoloji, ekonomi dan undang-undang pada peringkat sarjana dan kedoktoran (PhD).
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkata tawaran biasiswa itu masing-masing membabitkan enam pada peringkat sarjana dan PhD.
Dalam kenyataan di sini, JPA berkata pemohon mesti seorang warga negara dan berumur tidak lebih 30 tahun pada tahun pengajian dan memiliki ijazah sarjana muda atau sarjana yang diktiraf oleh kerajaan.
Selain itu, pemohon perlu mempunyai pencapaian Purata Mata Gred Kumulatif (CGPA) minium 3.75 atau kelas pertama atau setaraf dengannya.
Permohonan untuk biasiswa berkenaan dibuka mulai 11 hingga 18 Julai ini di mana ia boleh dibuat secara talian di portal www.jpa.gov.my atau http://esila.jpa.gov.my.
Maklumat lanjut tawaran biasiswa itu boleh diperolehi dengan melayari portal tersebut atau menghubungi hotline di talian 03-88853436/3892/3564 atau dengan mengunjungi kaunter Bahagian Pembangunan Modal Insan di Aras 5, JPA dari pukul 8 pagi hingga 1 tengah hari dan dari pukul 2 petang hingga 5 petang.
Program biasiswa yang diperkenalkan pada 2006 adalah khusus kepada calon yang memiliki prestasi akademik dan bukan akademik (kokurikulum) cemerlang untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dan PhD sama ada di dalam atau luar negara.
“Keutamaan adalah kepada calon yang mendapat keputusan akademik yang amat cemerlang di peringkat Ijazah Sarjana Muda atau Sarjana dan mempunyai keupayaan yang luar biasa seperti penguasaan pelbagai bahasa, kebolehan yang istimewa, aktif dalam aktiviti kemasyarakatan atau menghasilkan kerja-kerja kreatif dan inovatif serta mendapat tempat di Institusi Pengajian Tinggi Awam tempatan atau di universiti terkemuka dunia,” menurut kenyataan itu.
Calon yang layak dan berjaya disenarai pendek akan melalui proses pemilihan termasuk temuduga, kata JPA.
JPA turut menyatakan penerima biasiswa berkenaan adalah terikat untuk berkhidmat di Malaysia untuk tempoh tidak kurang dari lima tahun.
Pakej tawaran biasiswa Yang di-Pertuan Agong menawarkan kadar pembiayaan yang lebih tinggi berbanding biasiswa Persekutuan sedia ada.
Misalnya, kadar bulanan Elaun Sara Hidup (ESH) bagi biasiswa berkenaan di New Zealand bernilai NZ$2,174 (RM5,420) berbanding biasiswa persekutuan sebanyak NZ$1,449 (RM3,612) manakala di Australia biasiswa berkenaan bernilai AUD$2,070 (RM6,662) berbanding biasiswa persekutuan yang bernilai AUD$1,380 (RM4,430).
Di Malaysia, biasiswa berkenaan bernilai RM1,760 untuk sarjana dan RM2,500 untuk PhD manakala biasiswa persekutuan hanya bernilai RM900 sahaja.
Selain jumlah tajaan berkenaan, calon yang berjaya juga akan dibayar elaun-elaun lain yang berkaitan manakala yuran pengajian akan dibayar terus kepada universiti, kata JPA. – BERNAMA
sumber : http://mynewshub.my
No comments:
Post a Comment