Take time once in a while to just enjoy the moment...smell the flowers.. dance in the rain... run wild...feel the wind..feel free.. Put a smile on you face and thanks Allah that you're alive and still around
My Readers
Thursday, October 4, 2018
Wednesday, October 3, 2018
Tuhan, Aku Tidak Kuat.
Allahu. Tak tahu nak describe macam mana tapi aku betul-betul rasa nak give up dengan semua yang aku tengah buat sekarang. Tak nak buat apa-apa dan tak nak fikir apa-apa. Sungguh, aku tak pernah salahkan takdir. Aku tak pernah cuba untuk mempersoalkan setiap apa yang Allah telah tetapkan. Cuma adakalanya aku rasa macam dah tak kuat nak hadapi semua ni. Ujian yang Dia hadirkan untuk aku terlampau hebat. Aku hanyalah seorang hamba yang hina, dengan iman yang amat tipis.
Sejak hampir setahun lepas, aku diuji dengan masalah kesihatan dans ampai sekarang, aku masih lagi dibelenggu dengan masalah ini. Aku tak tahu bila masalah ini akan temui penghujungnya. Beberapa minggu selepas pembedahan yang pertama, sahabat baik yang paling aku sayang dijemput Ilahi. Selepas keluarga aku, dia adalah insan yang paling rapat dengan aku. Macam-macam benda yang kongsikan bersama. Impian yang kami sama-sama kejar kini hanya tinggal aku yang terus berjuang, berseorangan. 3 bulan berikutnya, aku jalani pembedahan untk kali kedua dengan harapan masalah kesihatan yang aku alami selesai. Aku terus kuat. Aku cuba untuk kekal positif sebab aku yakin di sebalik ujian yang Allah bagi ni, Dia sedang mengajar aku sesuatu. Hikmah yang mungkin aku tak nampak hari ni tapi baik buat aku untuk hari esok. Aku sabar. Aku cuba berfikir sepositif yang mungkin.
6 bulan berlalu, masalah kesihatan ini ternyata masih membelenggu aku. Hampir setiap 2 minggu aku berulang-alik ke hospital. Masih juga belum selesai. Bulan depan, aku akan jalani pembedahan kali ketiga, dengan harapan moga Allah hadirkan kesembuhan total buat masalah kesihatan yang aku hadapi.
Pertengahan Ogos yang lepas, aku diuji dengan ibu angkat yang aku sayangi dimasukkkan ke hospital. 5 hari awal di wad biasa dan selepas itu dipindahkan ke Wad ICU kerana keadaan kesihatannya semakin membimbangkan. Aku dan satu-satunya anak kandung dia kekal positif yang mak akan sembuh. Setiap hari, kami ke hospital, bersembang dengan dia walau pada hakikatnya dia tidak bagi apa-apa respon. Kami tahu, hanya Dia yang mampu hadirkan keajaiban untuk kesembuhan mak. Akhirnya, tanggal 15 September, tepat jam 4.25 petang, Allah ambil kembali mak yang dia pinjamkan untuk kami. 10 tahun yang cukup bahagia mengenali dia. Kini, aku kembali keseorangan,
Allahu, keadaan ini cukup sukar untuk aku. Mampukah aku hadapi hari esok? Hanya kepadaMu aku berserah wahai Tuhan yang Maha Pengasih dan Penyayang. Saat ini, hambaMu ini tidak kuat Ya Allah.
Monday, October 1, 2018
Terima Kasih untuk Segalanya, Mak!
Bismillahirrahmanirrahim.
Tepat jam 4.25 petang 15 September yang lepas, perginya seorang insan yang amat saya kasihi. Satu-satunya ibu yang setia menyayangi saya sejak 10 tahun lepas. Ketika mana saya masih meratapi pemergian ibu kandung saya, dia hadir mengusap lembut kepala saya. Katanya, kalau sudi anggaplah dia seperti ibu sendiri.
Sejak itu, tidak pernah sedikitpun dia anggap saya seperti orang asing. Setiap kali berkunjung ke rumah, saya dilayan bagai menatang minyak yang penuh. Lauk kegemaran saya sentiasa tersedia di atas meja makan. Mukanya tidak akan senyum selagi saya tidak habiskan semua makanan yang dimasak. Setiap kali menjelang musim peperiksaan, dialah yang paling sibuk, membacakan yassin, membuat solat hajat, dengan harapan kedua-dua orang anaknya berjaya mendapat keputusan cemerlang.
Menjelang akhir syawal yang lepas, saya menjemputnya ke rumah. Dia tetap datang walaupun keadaan kesihatannya kurang baik. Dia masuk ke bilik saya dan berdiri lama di balkoni. Dia kata seronoknya saya dapat lihat pemandangan yang cantik hari-hari. Gayatnya dengan tempat tinggi hilang serta-merta. Rupa-rupanya itulah kali pertama dan terakhir dia berkunjung ke rumah saya.
Ketika saya menjaganya di hospital, banyak cerita yang kami kongsi. Saya sempat menyuapkan dia makanan dan ubat. Ada satu masa, dia teringin makan bihun sup lalu saya turun ke kedai di belakang hospital untuk membelinya. Walaupun masin, dia tetap makan juga sebab nak jaga hati saya. Saya janji yang saya akan masakkan sup ayam yang sedap untuk dia nanti. Dia senyum seraya berkata, “Mak tunggu man masak sup ayam untuk Mak ya”
Sebelum balik ke rumah, saya kucup tangan dia. Saya puas hati dapat jaga dia untuk hari tu. Tiba-tiba dia berseloroh, “puas Man jaga mak ya. Mak tak tahulah. Rasanya tak lama dah ni.” Allahu, hati saya tersentak. Saya tak suka dia cakap macam tu. Saya janji dengan dia saya akan datang jaga dia lagi.
Namun, Allah lebih tahu apa yang terbaik buat dia. Lebih tiga minggu kami jaga dia di hospital, kami bawa mak pulang ke rumah. Ternyata dia disayangi ramai. Tetamu tidak putus-putus datang ziarah mak. Dari saudara-mara, kawan-kawan sehinggalah ke anak-anak murid mak. Semua mendoakan yang terbaik untuk mak. Segalanya berakhir dengan baik. Mak pergi tika selesai azan asar berkumandang.
Rehatlah mak di sana. Kami akan sentiasa ingat segala pesan mak. Kami janji akan sentiasa ada untuk satu sama lain seperti yang mak nak. Kasih sayang yang mak bagi untuk hampir 10 tahun ni amat sempurna. Tiadalah yang dapat membalasnya melainkan rahmat Allah buat mak di sana. Terima kasih untuk segalanya ibuku sayang.
Ya Allah, ampunilah dia, kasihanilah dia, sejahterakanlah dia dan maafkanlah kesalahannya. Lapangkanlah kuburnya, angkatlah azab kubur daripadanya, berikanlah limpahan syurga al-jannahMu kepadanya dan masukkanlah dia dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh. Amin.
Subscribe to:
Posts (Atom)