Syukur. Aku selalu ajar diri ni untuk bersyukur dengan segala apa yang dah aku miliki selama ni. Dah terlampau banyak nikmat yang Dia kurniakan. Kadang-kadang bila Dia tak bagi apa yang kita nak, kita mula bersangka buruk dan anggap semua ni tak adil. Padahal kita tak sedar yang segala apa yang telah diaturkan tak pernah Dia jadikan dengan sia-sia. Sungguh, kalau bukan hari ni, mungkin esok atau satu masa nanti kau akan faham mengapa Dia takdirkan hidup kau macam tu. Wallahi, aku sangat bersyukur bila Allah dah tulis yang takde rezeki aku untuk sambung Ph.D di luar negara. Sungguh banyak hikmah yang aku temukan. Bagi aku, tak kisahlah dalam atau luar, niat aku cuma satu. Nak capai impian untuk habiskan pengajian Ph.D sebaik yang mungkin. Terima kasih buat Universiti Malaysia Terengganu yang memberi biasiswa penuh untuk tempoh 3 tahun pengajian Ph.D ni. Rasa macam tak percaya yang sekarang ni aku dah bergelar pelajar Ph.D. Alhamdulillah, aku dah mula mendaftar di Universiti Sains Malaysia pengkhususan di dalam bidang Dasar dan Perancangan di bawah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan. Aku sangat berterima kasih kepada Prof Osman Yusof yang sudi mengambil aku sebagai satu-satunya pelajar seliaan beliau untuk kali ni. Pertama kali jumpa beliau, aku memang risau. Sangat risau sebenarnya sebab aku tak tahu beliau orangnya macam mana. Bimbang kalau-kalau kami tak serasi tapi alhamdulillah segalanya berjalan lancar. Mendengar cerita beliau membuatkan aku bersemangat nak fokus dan habiskan PhD dalam jangka waktu yang kami bincangkan. Allah temukan lagi seorang yang hebat untuk mengajar aku banyak benda. Aku takkan sia-siakan peluang yang ada untuk menuntut ilmu dan menjadi seorang yang hebat seperti beliau. Ingatan untuk diri sendiri jugak agar sentiasa rendah diri dan istiqamah dalam menempuh perjalanan kali ni. Walau apa pun terjadi, aku akan tetap melangkah. Tak akan sesekali aku toleh ke belakang lagi. Moga Allah redha InsyaAllah.